Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram. Hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi.
Nabi Muhammad s.a.w melakukan puasa Asyura sejak berada di Mekah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Mereka berpuasa pada hari tersebut bagi meraikan kemenangan Nabi Musa membebaskan kaumnya daripada Firaun. Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga menjadi kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa dan lebih berhak meraikan hari tersebut. Sehinggalah Allah mensyariatkan puasa Ramadhan maka puasa asyura tersebut tidak lagi menjadi kewajiban.
Diriwayatkan daripada hadith Aisyah r.a: "Bahawa masyarakat Quraisy pada zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura, Kemudian Rasulullah memerintahkan berpuasa pada hari tersebut sehinggalah difardhukan puasa Ramadhan. Dan Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang mahu berpuasa hari asyura maka berpuasa jika tidak juga tidak apa-apa" (H.R. Bukhari dan Muslim).
Read more...